Thursday, August 6, 2009

Eksperimentasi pendidikan yang merugi

Satu kerugian, satu pembaziran, satu kemelut, satu delima, satu kekecewaan, dan adakah satu Malaysia penyelesaiannya? Tidak! Satu Malaysia hanya selogan ciptaan. Apa yang hendak saya perkatakan di sini adalah polisi pendidikan negara yang sehingga kini kelihatannya tiada hala tuju yang jelas. Polisi ini memberi kesan yang mendalam terhadap gaya berfikir masyarakat Malaysia. Kegagalan kita untuk berfikir menjadikan kita rakyat yang kaku dan beku walaupun kita dikurnia otak untuk berfikir. Namun fungsi otak diubah dan dididik untuk menjadi individu yang pasif umpama robot yang telah diprogramkan.

Walaupun apa pun polisi dan dasar kerajaan terhadap sistem pendidikan negara, kejayaannya sekadar lakaran statistik yang serba cantik dan indah, hakikatnya belum mampu lagi memberi impak terhadap revolusi pemikiran yang amat diperlukan dalam memajukan dan membentuk negara bangsa yang padu.

Masyarakat bumiputera misalnya, minda mereka gagal untuk mengarap peluang dan keistimewaan yang tersedia sebab mereka sekadar menjadi masyarakat yang mengharap, meminta-minta, dan pengamal budaya zon selesa, budaya tak apa, dan budaya pemalas. Siapakah yang menjadikan mereka sebegini? Kerajaan kah? Ataupun budaya politik BN yang membudaya kan gaya pemikiran mereka?

Sememangnya bumiputera jauh ketinggalan dalam apa jua bidang. Pendidikan yang dirancang sekian lama sekadar melahirkan masyarakat dengan budaya kuli, kuli kepada kerajaan, kuli kepada golongan kapitalis dengan wang ringgit mengaburkan mata mereka setiap hujung bulan. Sangat merugikan wang ringgit diperuntukan untuk memajukan bumiputera tetapi masih gagal untuk memajukan kehidupan mereka.

Kenapa dasar pendidikan gagal? Mungkin dasar ini adalah dasar "syok sendiri". Pembuat dasar tiada pendirian jelas, sekadar duduk di pejabat berhawa dingin, duduk di meja bulat, duduk di meja bujur, dan berakhir dengan acara makan-minum, ataupun sekadar menghabiskan air mineral di atas meja.

Saturday, March 14, 2009

Malas sia-sia sahaja

Sejarah itu membosankan, tidak menarik, terikat dengan fakta, dan agak kaku. Kita buta sejarah kerana sistem pelajaran itu sendiri yang menekan. Ramai di antara kita yang pernah melalui zaman persekolahan hanya inginkan keputusan ujian berbanding ilmu itu sendiri. Kita bukan sahaja buta sejarah, tetapi juga buta ilmu. Gagal untuk mengaplikasikan ilmu itu menjadikan setiap generasi yang “terpelajar” menjadi hamba di ruang pekerjaan. Suara, idea, dan ilmu sekadar cebisan yang tak bernilai bila keluar dari sistem pendidikan yang serba-serbinya membosankan. Kita sekadar masyarakat caduran yang memenuhi ruang hidup dengan mewujudkan pelbagai masalah yang kian bercelaru tanpa ada penyelesaian.
Kerana buta ilmu, kita sehingga hari ini masih gagal untuk membina negara bangsa. Acuan-acuan pinjaman dari luar mereka-bentuk gaya pemikiran dan corak hidup kita. Kita kehilangan arah dan hala tuju ke-arah pembentukan negara yang berdaya maju dan berdaulat. Dengan acuan-acuan luar yang berjaya mengeraskan pemikiran, menjadikan kita sebagai antara generasi penghancur terhadap agama, beradaban, budaya, dan kesenian tempatan. Generasi penghancur itu diwariskan dari satu generasi ke satu generasi sehingga tiada satu kebaikan yang ada pada kita sehingga kita meninggalkan budaya, bahasa, dan agama untuk mengejar dan merebut peluang dalam era globalisasi.
Cedukan budaya luar, ilmu secara langsung dari luar dengan penghapusan elemen-elemen tempatan adalah usaha yang dangkal, karut, dan sikap pemalas yang inginkan keputusan segera tanpa perlu berusaha. Bila anak bangsa berbangga dengan budaya dan bahasa asing, maka lahirlah masyarakat yang buta bahasa dan terhapusnya ketemadunan sesuatu bangsa. Elemen ketemadunan itu termasuklah bahasa ibunda itu sendiri. Di rantau ini, bahasa Melayu adalah bahasa utama yang membentuk temadun di kepulauan Melayu. Bila elemen ketamadunan ini terhapus, maka akan hilanglah warisan temadun yang terbina sejak sekian lama. Generasi perosak, dan generasi penghapus adalah kita sendiri, yang memiliki kewargenegaraan yang sah, tetapi umpama pendatang asing yang tidak menghargai nilai-nilai budaya, dan bahasa Melayu. Generasi tua yang menggubal perlembagaan menaruh harapan tinggi terhadap bahasa Melayu, namun masyarakat pada hari ini menolaknya kerana kita adalah generasi yang malas, dan mahukan ilmu “segera”.
Kegagalan kita boleh dilihat dengan perkembangan empayar ekonomi yang kaku, dan gagal untuk berkembang. Bukan sebab bahasa, tetapi sebab tiada ilmu, ditambah lagi dengan sikap malas, dan mudah selesa. Sikap penghambaan yang berterusan menjadikan kita hamba “terpelajar” yang menagih simpati di ruang-ruang pejabat milik asing. Jika orang Melayu mampu untuk mewujudkan empayar ekonomi di rantau ini, tidak mustahil bahasa Melayu mampu mendominasi masyarakat di kepulauan Melayu. Sejarah telah membuktikan bahasa Melayu mampu menjadi bahasa utama di rantau ini. Tetapi kerana sejarah di butakan, maka kita telah menjadi masyarakat yang buta sejarah. Malah ilmu itu juga dibutakan dengan sistem pengredan penilaian yang memaksa untuk mendapat seberapa banyak “A”.

Pembentukan dan pembinaan negara kita adalah acuan luar yang tiada matlamat kenegaraan. Bahasa, budaya, dan gaya hidup pinjaman menjadi amalan yang menguntungkan umpama sikap seorang saudagar tamak yang berdagang untuk mendapatkan seberapa banyak keuntungan dengan apa cara sekalipun. Kerajaan boleh memuji keberkesananan PPSMI, tetapi itu adalah satu elemen kegagalan yang tiada penghujung untuk sebuah kerajaan yang telah diberi mandat sejak sekian lama. Mandat untuk mentadbir, membangun, dan menjaga amanah pejuang kemerdekaan, amanah anak bangsa, malangnya dilacurkan untuk secebis bahasa luar yang diagungkan oleh barat sebagai bahasa ekonomi. Jika sains itu diajar dalam bahasa Inggeris, maka tiada apa yang tinggal pada anak bangsa. Ini adalah kerana dari segi maksudnya sains itu adalah ilmu. DBP pula akan menjadi monumen tinggalan sejarah yang perlu dikekalkan untuk tatapan generasi yang akan datang. Adalah perlu keranda 152 dikuburkan di perkarangan bangunan DBP supaya generasi yang akan datang tidak akan buta perlembagaan. Pencinta bahasa perlu bersedia untuk mencari tapak untuk membina muzium bahasa agar bahasa Melayu dapat ditonton oleh generasi PPSMI. Penguncup, dan penazak bahasa Melayu perlu diarkipkan supaya masyarakat akan tahu siapa sebenarnya dalang di sebalik penghapusan bahasa Melayu.

Friday, March 13, 2009

Tak reti bahasa

Tak Reti Bahasa

Apabila kita adalah sebahagian daripada individu yang bernegara, adalah amat perlu bagi setiap dari kita menerapkan nilai-nilai dan rasa cintakan negara yang kita duduki. Sikap dan rasa patriotisma adalah perlu untuk membentuk negara berdaya maju dan mampu bersaing dalam era globalisasi. Selain itu sikap patriotisma juga amat perlu untuk membentuk keunikan identiti sesebuah negara dari segala aspek kehidupan. Sejak 50 tahun yang lalu, selepas negara mencapai kemerdekaan, usaha-usaha pembentukkan negara bangsa yang diusahakan telah gagal untuk mencapai matlamatnya seperti yang diingin para perjuang kemerdekaan sebelum tarikh 31 Ogos 1957. Perjuangan mereka adalah untuk membebaskan tanah mereka dari dijajah dan dikuasai oleh orang asing dari segala aspek. Seandainya para pejuang ini melihat apa yang berlaku terhadap Tanah Melayu (Malaysia), pada hari ini, pastinya mereka akan berasa kecewa dengan hasil usaha perjuangan mereka yang gagal untuk dimanfaatkan para pemimpin pada hari ini dan boleh disimpulkan sebagai kegagalan kearah tumbangnya tamadun Melayu di tanah sendiri.

Pemimpin selepas merdeka gagal untuk melahirkan rakyat yang berjiwa patriotisma, dengan wujudnya sistem pendidikan yang kacau bilau serta tiada asas yang kukuh dan tiada motif kenegaraan untuk menjadikan generasi merdeka yang mampu untuk membangunkan negara ini. Sistem pendidikan tiruan ataupun saduran yang diambil dari British sejak sekian lama dilihat lebih kepada pencapaian akedemik dari pencapaian ilmu itu sendiri. Walaupun pendidikan British itu kelihatan menarik, namun satu perkara yang di ambil ringan ialah sistem pendidikan British itu tidak menitik beratkan soal kenegaraan dan patriotisma. Sebab itulah sistem pendidikan di negara akan menemui kegagalan selama-lamanya. Sehingga ke hari ini sistem pendidikan kita lebih kepada usaha untuk mencapai keputusan akademik yang terbaik dengan pencapaian angka serta huruf dititik beratkan dalam pemberian sijil.

Walaupun pencapaian akademik para pelajar meningkat saban tahun namun dari segi kualitinya kian merosot. Bukan sahaja dari segi kualiti ilmu tetapi juga kuliti pelajar itu sendiri. Pelajar-pelajar ini tidak dapat untuk membentuk jati diri dalam jiwa mereka kerana dalam masa yang sama sentiasa dibebankan dengan desakan diri dan persekitaran untuk memperolehi seberapa banyak huruf A ataupun angka 1. Mereka yang berjaya adalah mereka yang mampu memperolehi A manakala mereka yang gagal adalah mereka yang dapat huruf F. Bila kerajaan memperkenalkan PPSMI dengan alasan untuk membaiki mutu bahasa Inggeris para pelajar, tanpa kerajaan sedari mereka telah membunuh bahasa sendiri. Alasan lain yang digunakan ialah kerana bahan rujukan dicetak dalam bahasa Inggeris dan untuk menjadikan rakyat negara ini mampu bersaing dalam era globalisasi. Alasan-alasan seperti ini adalah alasan pemimpin yang malas, tidak partiotik, dan mudah mengalah walaupun rakyat sudah memberi amanah kepada mereka untuk memerintah negara ini.

Amat membimbangkan lagi dengan menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar, bahasa Melayu akan terkubur dan hanya ditutur oleh mereka yang tinggal di ceruk kampung. Memalukan bila pemimpin negara gagal untuk memartabatkan bahasa Ibunda seperti yang terkandung dalam perlembagaan negara ini. Bahasa Melayu yang sudah termaktub dalam perlembagaan sebagai bahasa utama kian hilang martabatnya dan pemimpin gagal untuk mamanfaatkanya sebagai bahasa ilmu serta bahasa perpaduan.
Untuk memartabatkan bahasa Melayu, adalah sangat perlu untuk menolak pemimpin yang telah menjahanamkan bahasa Melayu terutamanya barisan pemimpin negara pada hari ini. Ini adalah cara untuk mengubah secara total penggunaan dan mengembalikan martabat bahasa Melayu. Pemimpin Melayu terutamanya dari PAS dan PKR perlu menunjukkan kesungguhan untuk menjaga bahasa Melayu dan berusaha untuk mencipta sistem pendidikan yang berasaskan bahasa Melayu. Selain itu sistem pendidikan juga perlu menerapkan nilai-nilai patriotisma dan keagamaan untuk melahirkan para pelajar yang cintakan negara ini.
Penutur bahasa Melayu adalah ramai, namun kerajaan gagal untuk memanfaatkannya. Seharusnya kerajaan perlu menjalin kerjasama dengan negara dikepulauan Melayu untuk memperhebatkan lagi penggunaan bahasa Melayu. Indonesia mampu memartabatkan bahasa Melayu tetapi kenapa negara kita tidak? Adakah kerana pemimpin yang berjiwa “bisnis” yang lebih berminat dengan projek, AP, bisnis dan kontrak.

Saturday, March 7, 2009

Sebahagian orang ramai berkumpul semula dalam masjid negara

Kelihatan orang ramai berpatah balik ke Masjid Negara, dan ramai lagi yang sudah berada dalam masjid dan ada yang mencari perlindungan di sekitar masjid.

Masjid tidak terkecuali dari tembakan gas pemedih mata.



Inilah mereka yang bertanggung jawab menembak gas pemedih mata ke perkarangan masjid



Tidak cukup dengan itu air dari water canon juga dihalakan ke perkarangan Masjid Negara.



Pihak berkuasa melepaskan gas pemedih mata ke arah orang ramai yang berarak ke Istana Negara.


Lautan manusia menuju ke Istana negara


Saturday, February 21, 2009

Bila penjual takut jual akhbar……

Semalam bila saya bertanya kepada seoarang penjual akhbar, mana Suara Keadilan keluaran terbaru? Mereka mengatakan ada pihak yang melarang mereka menjual akhbar tersebut. Ini lah senario yang terpaksa dihadapi oleh pekedai di seluruh negara yang berada dalam situasi pelik. Perkara ini tidak pelik jika kita menjelajah era pemerintahan Jepun di Tanah Melayu. Jika ternampak tiang radio, pastinya tuan rumah di seksa dan disoal siasat dan radio tersebut akan dirampas. Usaha rampasan akhbar Harakah dan Suara Keadilan adalah cara ortodok yang dilakukan oleh pemerintah dalam era moden yang serba canggih ini. Sedangkan di sebalik versi internet akhbar alternatif ini, ribuan lagi media versi internet muncul yang menggerakkan usaha bagi menyebarkan maklumat yang tidak terdapat dalam media arus perdana.
Mungkin adalah lebih selesa bagi warga asing menjual barangan jenama tiruan di Petaling Street. Adalah lebih selesa penjual DVD cetak rompak menjual DVD filem terbaru di Jalan Alor. KDN menjalankan tugas berasaskan apa? Tegas dalam satu perkara tetapi tutup mata dalam perkara yang jelas bertentangan dengan undang-undang. Mungkin adalah lebih selesa “pondan” menjual badan mereka di sekitar Bukit Bintang. Adalah lebih selesa bapa ayam mencari pelanggan di Jalan Bukit Bintang.
Persoalannya apakah sebenarnya yang ingin di sembunyikan oleh pihak pemerintah? Adakah kerana isu derhaka? Kenapa orang Melayu sendiri tidak memahami bahasa Istana? Derhaka siapa yang derhaka? Sejarah sudah tercipta sejak tahun 1983, kemudian yang paling dahsyat pada tahun 1993. Siapakah dalangnya? Inilah kebijaksanaan akhbar dan media arus perdana pada masa itu untuk menutup penderhakaan yang dilakukan oleh pemerintah. Pemimpin pemuda parti pemerintah sekadar berlakon dan menjerit untuk pertahankan kedaulatan Raja, dan akhbar arus perdana mengapi-apikan isu ini untuk meraih sokongan rakyat kepada mereka. Adalah amat malang sekali mereka yang serba bijak ini bertindak kebudak-budakkan tanpa memahami sejarah penderhakaan oleh parti mereka sendiri.
Namun, rakyat pada hari ini bukanlah seperti yang mereka fikirkan 20 atau 10 tahun yang lalu. Zaman ini zaman yang sangat memerlukan penyampaian maklumat dengan lebih kritikal tanpa berselindung di sebalik batu. Hanya mereka yang bodoh-pandai sahaja yang bersetuju dengan tindakan pemuda dan penguasa. Kelemahan penguasa sekarang kerana masih bertindak dengan cara ortodok dari segi cara kerja, penyebaran berita, dan kekurangan idea baru yang boleh memajukan negara. Walaupun mereka ini bijak-pandai dari UK, US, termasuklah Okford, tetapi kepandaian mereka ini diselubungi oleh nafsu dunia yang menghalang mereka untuk bertindak dan bekerja secara waras demi kepentingan rakyat. Kadang-kadang penguasa meminta rakyat mengenang budi pemimpin yang terdahulu kerana usaha mereka memajukan negara ini. Tanpa mereka siapa-lah kita pada hari ini.
Sepatutnya rakyat berterima kasih kepada pemimpin yang terdahulu. Tetapi rasa terima kasih kita jangan di serahkan bulat-bulat kepada pemimpin pada hari ini. Ini adalah kerana pemimpin pada hari ini mempunyai matlamat, dan cita-cita yang berbeza. Pada hari ini politik dilihat sebagai jalan pintas untuk mengumpul kekayaan, jalan pintas untuk menekan rakyat yang tidak sehaluan dengan mereka. Pada hari ini politik terpisah dari rakyat, agama juga dijauhkan, manakala rasuah, nafsu dunia semakin mendekati dunia politik di negara ini. Politik juga diguna untuk menyempitkan lagi peranan demokrasi yang diguna pakai sejak sekian lama.

Thursday, February 12, 2009

Sarawak kubu BN?

Sarawak kubu BN?

Sebuah negeri yang begitu unik dengan budaya dan adat resam mencorakkan kepelbagaian dalam satu komuniti yang harmoni. Antara yang terbesar di negara ini dengan pelbagai sumber alam anugerah Tuhan yang tiada penghujungnya. Sumber alam dan sumber laut yang melimpah ruah seakan-akan negeri Sarawak lubuk emas bagi sesetengah pihak. Benarkah negeri ini dapat menikmati hasil bumi sendiri? Minyak, gas asli, sumber hutan, hasil laut, ke mana perginya semua sumber ini? Inilah nasib yang dihadapi rakyat Sarawak, di belenggu kemiskinan, dihambat kemunduran, mudah terpedaya dengan gerak kerja penguasa yang menggula-gulakan rakyat dengan janji-janji manis. Sememangnya rakyat Sarawak tersangat lemah dalam berpolitik, apa yang mereka tahu politik itu BN (cap dacing) , bila sudah nak pilihan raya barulah penguasa ini menunjukkan muka mereka kepada rakyat.
Rakyat Sarawak sangat bergantung kepada BN kerana sejak 45 tahun yang lalu penguasa berjaya mencorakkan minda rakyat dengan “cap dacing”. Rakyat tidak mempersoalkan hasil minyak, hasil gas, dan hasil bumi Sarawak, kerana pengetahuan mereka terhadap ekonomi sangat lemah. Hasilnya rakyat Sarawak terpinggir dari arus pembangunan seperti yang dinikmati rakan mereka di semenanjung. Sebagai contohnya rakyat di Kuala Terengganu, kerajaan BN terpaksa menggunakan belanja yang besar untuk menagih simpati rakyat dengan pelbagai janji pembangunan. Jika jumlah sebesar RM 900 juta diberikan kepada rakyat Sarawak, ia lebih dari cukup untuk membutakan hati rakyat Sarawak.
Kekuatan politik yang seimbang adalah sangat perlu untuk mengembalikan sumber ekonomi kepada rakyat Sarawak. Jika pembangkang semakin kuat di Sarawak, penguasa terpaksa menggunakan belanja yang besar untuk mengembalikan keyakinan rakyat kepada penguasa. Di negeri Perak misalnya, kekuatan PR semakin kuat, jadi BN terpaksa memperuntukkan sejumlah dana jutaan ringgit untuk tujuan pembangunan agar rakyat Perak dapat menerima BN semula di negeri tersebut. Iklim politik di Semenanjung , sangat berbeza berbanding dengan apa yang berlaku di Sarawak. Di Semenanjung politiknya lebih kepada soal perkauman seperti yang diguna pakai oleh BN (UMNO, MCA dan MIC). Kehadiran PKR dalam arena politik telah mencorakkan politik baru yang lebih kepada perpaduan kaum, namun masih belum dapat diterima sepenuhnya oleh orang Melayu. PAS yang masih mengekalkan imej bersihnya, berjaya mengorak langkah yang lebih terbuka untuk diterima oleh mereka yang bukan Islam.
Jika parti seperti UMNO, MCA atau pun MIC berhasrat untuk membuka gelanggang politik di Sarawak, itu adalah satu mala petaka bagi rakyat Sarawak. Ini terbukti dengan usaha UMNO untuk memasuki negeri Sarawak sebanyak dua kali, namun ia bukan sahaja ditentang oleh rakyat Sarawak tetapi juga di tentang oleh penguasa negeri. Jika PAS dan PKR membuka gelanggang politik di Sarawak sudah semestinya dapat diterima oleh rakyat Sarawak. Ini adalah kerana rakyat Sarawak perlu mempunyai pihak pembangkang yang kuat untuk memastikan penguasa menjalankan tanggung jawab mereka. Persoalannya mampukah PAS dan PKR bertarung dengan dana yang terhad, sedangkan penguasa memiliki segala kekuatan dari segi dana, dan media arus perdana (media pengampu). Gendang pilihan raya sudah dibunyikan, ini dengan kehadiran bakal PM ke Sarawak. Sudah pastinya pakej rangsangan ekonomi yang seterusnya nanti akan ditumpukan kepada negeri Sarawak.
Persoalannya siapakah yang akan mengganti dinasti politik Datuk Taib, adakah anaknya, ataupun pemimpin yang lain. Melanau faktor akan menentukan siapa pengganti Datuk Taib. Suatu ketika dahulu, Datuk Afendi diwar-warkan sebagai pengganti, tetapi Afendi tidak popular di kalangan rakyat Sarawak, lebih-lebih lagi kurang di sukai oleh orang Melanau sendiri. Adakah penggantinya anaknya sendiri, ataupun pemimpin dari lembah Rejang, ataupun pemimpin dari Matu-Daro, ataupun pemimpin dari Mukah yang didominasi kaum Melanau? Jika PKR ingin mencari kekuatan di Sarawak, cari kekuatan di kalangan pemimpin Melanau untuk menyertai PKR.